SUNGAI BULOH, 11 Januari- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj, hari ini berkenan merasmikan dua mercu tanda baharu di Bandar Elmina, iaitu Pusat Membeli-Belah Elmina dan Muzium Arca Luar Elmina.
Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut mengingi baginda.
Ketibaan Baginda berdua disambut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property Datuk Seri Azmir Merican.
Pada majlis berkenaan, Sultan Sharafuddin berkenan menyempurnakan lafaz perasmian seterusnya menandatangani plak sebagai simbolik perasmian tersebut.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Norashikin turut meluangkan masa hampir tiga jam berkenan melawat muzium dan beberapa buah kedai di dalam pusat membeli-belah berkenaan.
Muzium berkenaan mempamerkan seni kontemporari tempatan dengan elemen ekspresi artistik, kemampanan, dan reka bentuk bandar yang inovatif.
Pusat Membeli-Belah Elmina pula kini beroperasi dengan kadar penghunian 99 peratus dan dijangka menjadi hab peruncitan utama untuk lebih 870,000 penduduk di kawasan sekitar.
Majlis berkenaan turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri termasuk Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han serta Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail.