fb fb fb fb fb

Sultan Selangor berkenan rasmi Masjid Kota Kemuning

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menandatangani plak perasmian Masjid Kota Kemuning di Kota Kemuning.

SHAH ALAM, 28 Mac - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat merasmikan Masjid Kota Kemuning di Kota Kemuning di sini.

Ketibaan baginda pada 6 petang yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, disambut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim.

Hadir sama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi, Exco Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Dalam majlis itu, baginda berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 476 penerima terdiri daripada golongan asnaf, fakir dan miskin serta mualaf dari daerah Klang, berjumlah RM500 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM238,000.

Sultan Sharafuddin kemudiannya berkenan menerima zakat perniagaan daripada Pintas Utama Sdn Bhd dan Rafulin Holdings Sdn Bhd masing-masing berjumlah RM3 juta dan RM1.88 juta.

Baginda turut berkenan melafazkan titah perasmian Masjid Kota Kemuning sebelum menandatangani plak perasmian bagi menyempurnakan acara itu.

Pembinaan masjid berkenaan yang bermula pada 2017, bagi menampung kariah Kota Kemuning yang sebelum ini menjalankan ibadah mereka di Masjid An-Naim, Jalan Kebun.

Masjid Kota Kemuning, di atas tanah seluas lima ekar siap dibina pada November 2022 dengan kos keseluruhan RM18 juta, dan mampu memuatkan sehingga 4,000 jemaah dalam satu-satu masa.

Pada majlis tersebut baginda juga berkenan merasmikan pelancaran Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza.

Bersempena Nuzul al-Quran hari ini, majlis turut diserikan dengan ceramah khas disampaikan Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Muhammad Ayman Al Akiti.

Sultan Sharafuddin turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih bersama rakyat.

ZEHRA BINTI ZAMBRI