
SHAH ALAM, 13 Februari- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menyaksikan Forum Perdana Ehwal Islam bersempena Ulang Tahun Ke-15 Yayasan Islam Darul Ehsan, YIDE.
- Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri berkenan menyaksikan Forum Perdana Ehwal Islam sempena Ulang Tahun Ke-15 YIDE.
- Forum bertema "Kelahiran Insan Riayah" menekankan konsep riayah: memelihara dan bertanggungjawab terhadap kebajikan insan.
- Panel termasuk Mufti Selangor Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Opir dan Timbalan Mufti Pahang Dato’ Dr. Haji Badli Shah.
- Program mempromosi dakwah, peranan YIDE, kesedaran kebajikan anak yatim dan galakan kolaborasi korporat; penyampaian cek sumbangan turut diadakan.
Forum yang bertemakan “Kelahiran Insan Riayah” itu dianjurkan bagi memperkukuh usaha dakwah Islam secara holistik serta memperkasa kebajikan anak-anak yatim, berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, malam tadi.
Forum berkenaan menampilkan Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Opir serta Timbalan Mufti Negeri Pahang, Dato’ Dr. Haji Badli Shah Alaudin sebagai panelis.
Manakala Ustaz Zakaria Othman bertindak sebagai moderator.
Konsep riayah yang membawa maksud memelihara, menjaga dan bertanggungjawab terhadap kebajikan sesama insan menjadi teras utama perbincangan.
Ia selaras dengan tuntutan Islam yang menekankan keprihatinan berterusan terhadap anak-anak yatim agar mereka dibimbing secara menyeluruh meliputi aspek rohani, akhlak, pendidikan dan kesejahteraan hidup.
Penganjuran forum ini bertujuan menyampaikan mesej dakwah Islam serta memperkenalkan peranan dan fungsi kebajikan YIDE melalui platform media arus perdana.
Selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebajikan golongan memerlukan, program ini turut menggalakkan kolaborasi strategik antara institusi kebajikan dan sektor korporat.
Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menerima serahan cek cura sumbangan korporat daripada pihak penyumbang.