BAGAN DATUK, 10 Mac-Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk.
Ketibaan baginda disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Baginda kemudiannya berkenan menanam pokok Bunga Tanjung atau Mimusops elengi sebagai simbolik perasmian masjid tersebut.
Sultan Nazrin kemudian mencemar duli berbuka puasa bersama kira-kira 2,500 jemaah dan menunaikan solat Maghrib sebelum berkenan berangkat ke majlis santapan, diikuti dengan solat Isyak serta solat Terawih.
Masjid Tuminah Hamidi mula dibina pada 2017 dan siap sepenuhya pada 2023.
Masjid berkenaan dinamakan sempena nama ibu bapa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid iaitu allahyarham Raden Hamid Abdul Fatah dan allahyarhamah Tuminah Abdul Jalil.
Masjid itu mampu menampung seramai 5,000 orang jemaah pada satu-satu masa dan dilengkapi dengan dataran terbuka, dewan serbaguna, bilik pameran, serta bilik persidangan dua tingkat.
Ia adalah masjid terapung di tepi Sungai Perak, di sekali gus menjadi daya tarikan pelancongan baharu, serta merupakan masjid terapung keempat dibina di negeri Perak.