fb fb fb fb fb

Sultan Perak rasmi Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi HRPB Ipoh

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli merasmikan Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

IPOH, 6 Februari- Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli merasmikan Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi (KWKK) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Pembinaan Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi di atas tanah seluas 14,671 meter persegi itu menelan belanja RM237 juta bawah Peruntukan RMKe-10.

Kerja-kerja pembinaan bermula pada 2013 lanjutan daripada peningkatan pesakit saban tahun dan permintaan tinggi masyarakat bagi perkhidmatan tersebut.

Kompleks dengan ketinggian 10 tingkat itu memuatkan sebanyak 404 katil serta turut dilengkapkan dengan 304 lot parkir untuk kakitangan dan pelawat.

Kompleks itu menawarkan tiga perkhidmatan utama iaitu Kardiologi, Pediatrik dan Obstetrik & Ginekologi.

Selain itu, kompleks berkenaan juga menyediakan lima perkhidmatan iaitu perkhidmatan Radiologi, Farmasi, Dewan Bedah, Central Sterile Supply Department (CSSD) serta Unit Hasil bagi menyokong kelangsungan penyediaan perkhidmatan di bangunan tersebut.

Kemudahan di Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi bakal memberi keselesaan kepada pengunjung sama ada ketika menunggu pesakit ataupun ketika menerima rawatan di hospital.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI