KAMPAR, 19 Februari- Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini hari ini.
Keberangkatan baginda ke hospital tersebut diiringi oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Lembaga Hospital UTAR Tan Sri Dr. Chuah Hean Teik.
Hospital berkenaan telah beroperasi sejak 2022 dan telah menerima lebih 130,000 pesakit.
Operasi hospital itu bermula dengan pembukaan Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) pada April 2022, diikuti pembukaan Pusat Pakar Perubatan Moden pada Ogos 2023.
Terletak dalam Kampus UTAR Kampar, hospital berkenaan bukan sahaja mempunyai persekitaran luas, malah kedudukannya yang strategik memberikan akses kepada komuniti berhampiran termasuk dari Ipoh, Gopeng, Tapah, Proton City, Tanjung Malim, Teluk Intan, Cameron Highlands dan Malim Nawar.
Antara kemudahan disediakan adalah rawatan pesakit luar, pusat diagnostik dan rawatan, perkhidmatan sokongan dan bukan perubatan, serta penyelidikan dan pendidikan.