IPOH, 31 Julai- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri Perak di Dataran Perak Darul Ridzuan, Ipoh.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Sambutan yang berlangsung pada pukul 9.00 pagi dimulakan dengan keberangkatan tiba Sultan Nazrin, diikuti dengan lagu kebesaran negeri Perak dan Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada tiga pegawai kanan dan 103 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen.
Sambutan diteruskan dengan tiupan ‘Last Post’, menyaksikan bendera Malaysia, Jalur Gemilang diturunkan.
Mejar Mohd Risal Osman mengetuai bacaan doa diikuti deklamasi sajak bertajuk Pahlawanku oleh Kapten Sharifuddin @ Abu Danial Abu Talib.
Kemudian, bendera Jalur Gemilang dinaikkan semula diiringi tiupan ‘Rouse’.
Sambutan di Dataran Bangunan Perak berakhir dengan lagu kebesaran negeri Perak dan keberangkatan pulang Sultan Perak serta dif-dif jemputan ke majlis santapan di Dewan Bankuet.
(Majlis Sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri Perak diadakan
di Dataran Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pagi tadi)