fb fb fb fb fb

Sultan Perak berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran peringkat negeri

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (tujuh,kiri) berkenan berangkat pada Sambutan Nuzul al-Quran Negeri Perak Darul Ridzuan 1446H/2025M di Masjid Sultan Azlan Shah

IPOH, 17 Mac - Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta Mufti Perak Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Sultan Nazrin dan kenamaan lain kemudiannya berbuka puasa bersama jemputan yang hadir, sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan Imam Utama Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan dan disusuli majlis santapan.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri MAIPk daripada dana zakat berjumlah RM12.84 juta kepada penghulu mukim dari 12 daerah mewakili 42,825 orang penerima asnaf fakir dan miskin di seluruh negeri. Majlis diakhiri dengan solat Isyak dan solat tarawih secara berjemaah.

TETITIA YUSOFF