Sultan Pahang kurnia sumbangan kepada keluarga prebet Muhammad Amirul

Foto fail/RTM

KUANTAN, 12 April -Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Muhammad Amirul Raziq Rosafindi yang meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan takziah dan dukacita kepada keluarga Allahyarham.
  • Allahyarham, prebet Batalion 25 RAMD, meninggal pada 9.34 pagi selepas hampir dua minggu bertarung nyawa akibat kecederaan parah.
  • Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Sungai Kelamah pada 4.30 pagi dengan penuh istiadat ketenteraan.
  • Allahyarham, 24, koma dan menerima rawatan rapi di HoSHAS akibat serangan pada 30 Mac oleh seorang PTT berusia 37 tahun.

Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan sumbangan tersebut disampaikan Pegawai Agama Istana Leftenan Kolonel Anuar Mohd Ehwal kepada ayah Allahyarham, Rosafindi Tambi Chik di Masjid Felda Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan, kira-kira 3 pagi tadi.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan takziah dan dukacita kepada keluarga Allahyarham Muhammad Amirul.

“Allahyarham merupakan anggota tentera berpangkat prebet yang berkhidmat di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Bentong, menghembuskan nafas terakhir pada 9.34 pagi, semalam selepas hampir dua minggu bertarung nyawa akibat kecederaan parah,” menurut hantaran itu.

Terdahulu, jenazah Muhammad Amirul dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Sungai Kelamah pada 4.30 pagi tadi dengan penuh istiadat ketenteraan.

Muhammad Amirul, 24, sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan koma dan menerima rawatan rapi di HoSHAS berikutan kecederaan parah yang dialami susulan insiden pukul di kem berkenaan pada 30 Mac lepas.

Kejadian itu dilaporkan berpunca daripada tindakan seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah (PTT) Rendah berusia 37 tahun yang didakwa menggunakan kekerasan akibat tidak berpuas hati berhubung penugasan diarahkan. – BERNAMA