KUANTAN, 31 Mac - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan kejadian serangan bom petrol membabitkan kedai serbaneka cawangan KK Mart di Sungai Isap, di sini awal pagi semalam.
Baginda menitahkan agar pihak polis Pahang memberi perhatian serius dan mengambil tindakan tegas dengan segera.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, Seri Paduka Baginda menitahkannya selepas menerima sembah maklum mengenai kejadian tersebut daripada polis Pahang.
“Paduka Baginda mengecam sekeras-kerasnya dan menyifatkan kejadian tersebut sebagai tindakan yang menyalahi undang-undang serta kepercayaan agama yang sentiasa menitikberatkan keamanan dan kemakmuran.
“Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat, khususnya rakyat Pahang, supaya tidak mudah terpengaruh dengan naratif perkauman yang boleh mengganggu-gugat keharmonian yang dinikmati selama ini,” menurutnya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Semua pihak titahnya, perlu menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak bertindak melampaui batas.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan supaya rakyat menghormati proses undang-undang yang telah diambil oleh kerajaan berhubung kes penjualan sarung kaki tertera kalimah Allah.
Mengambil keberkatan bulan Ramadan ini, Baginda menyeru semua rakyat mendoakan agar negeri Pahang dan Malaysia sentiasa diberkati dan dirahmati.