fb fb fb fb fb

Sultan Nazrin zahir ucapan tahniah kepada menteri, warga KPKT atas prestasi cemerlang

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah

KUALA LUMPUR, 28 Februari - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima menghadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di Istana Perak Changkat pada Khamis.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan dalam pertemuan itu, Nga membentangkan Kad Laporan KPKT bagi 2024 yang menggariskan siri kejayaan kementerian serta agensi-agensi di bawahnya.

Menurut hantaran itu, Sultan Nazrin menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada menteri serta seluruh warga KPKT atas prestasi cemerlang dan kejayaan yang dicapai, termasuk mengungguli Anugerah Pembangunan Negara buat kali pertama.

“Tahniah atas kejayaan memenangi Anugerah Pembangunan Negara 2024,” titah baginda.

Pada masa sama, Nga turut mempersembahkan cenderamata yang disediakan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang melambangkan metamorfosis serta membawa maksud reformasi ke arah menjadi insan lebih baik.

KPKT memaklumkan pada 2024, kementerian itu melaksanakan pelbagai projek untuk meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat, termasuk membaik pulih sebanyak 4,814 unit rumah serta membina 245 unit rumah baharu bagi golongan berpendapatan rendah dengan peruntukan berjumlah RM104.4 juta.

Selain itu, KPKT meluluskan pembinaan 7,243 unit MyKiosk di 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara dalam tempoh dua tahun bagi meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan ribuan usahawan mikro, kecil dan sederhana.

“Setakat Disember 2024, KPKT berjaya memulihkan 927 projek atau 112,747 unit perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM92.48 bilion dalam tempoh dua tahun melalui Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai,” menurut KPKT. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF