Sultan Nazrin, Tuanku Zara serikan sambutan Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2026

Foto BERNAMA

IPOH, 21 Mac– Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Baginda berdua menyampaikan duit raya kepada 69 kanak-kanak daripada rumah kebajikan negeri.
  • Baginda berdua meninjau gerai dan menyantuni pengunjung bagi memeriahkan suasana Syawal.
  • Majlis diserikan persembahan kebudayaan, bacaan doa selamat dan juadah tradisional, memupuk silaturahim serta memelihara tradisi Melayu.

Keberangkatan baginda berdua disambut meriah oleh kira-kira 20,000 pengunjung dari seluruh negeri, sekali gus memberi peluang kepada rakyat jelata untuk beramah mesra dengan kerabat diraja dalam suasana penuh muafakat.

Dalam majlis tersebut, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan menyampaikan duit raya kepada 69 kanak-kanak daripada Persatuan Anak-Anak Yatim Soleha Tanjung Tualang, The Salvation Army Ipoh Children’s serta Boy’s Home Care Centre dan Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar

Baginda berdua turut meluangkan masa meninjau gerai-gerai di pekarangan stadium sambil menyantuni para pengunjung yang hadir bagi memeriahkan lagi suasana Syawal.

Majlis tersebut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, bacaan doa selamat, serta hidangan pelbagai juadah tradisional yang menjadi identiti sambutan di negeri ini.

Penganjuran majlis sebegini bukan sahaja memeriahkan suasana hari raya, malah menjadi platform penting dalam mengeratkan silaturahim antara rakyat dengan institusi diraja di samping terus memelihara tradisi dan budaya Melayu yang murni.