fb fb fb fb fb

Sultan Nazrin titah rakyat ambil dos penggalak, langkah kawal penularan pandemik

IPOH, 28 Mac- Seluruh rakyat diseru mendapatkan dos penggalak COVID-19 bagi memastikan negara dapat mengawal pandemik itu.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar rakyat melaksanakan tanggungjawab membantu meringankan beban tugas kakitangan Jabatan Kesihatan dengan mengambil langkah-langkah preventif agar penularan wabak diminimumkan.

Titah baginda, sejak dos penggalak diperkenalkan pada Oktober tahun lalu, hanya sekitar 66 peratus daripada penduduk dewasa di negeri ini yang layak telah menerima dos penggalak.

"Insaflah akan tugas berat yang sudah lebih dua tahun terpaksa dipikul oleh kakitangan kesihatan. Usaha-usaha akan ditingkatkan untuk menyedarkan rakyat betapa pentingnya meningkatkan sistem imuniti dalam menghadapi ancaman musuh biologi ini.

"Selain Jabatan Kesihatan, beta menyeru masjid, rumah ibadat, sekolah, badan sukarela, pertubuhan belia dan anggota masyarakat membantu usaha menyedarkan rakyat betapa pentingnya mengambil vaksinasi dos penggalak," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah kawalan pencegahan COVID-19.

Titah baginda, pandemik COVID-19 akan tercatat dalam sejarah sebagai malapetaka yang memberi impak besar kepada dunia.

Titah baginda lagi, penularan wabak itu bukan sahaja menjejas prestasi ekonomi dunia, kehidupan insan, pengurusan kesihatan dan bekalan makanan malah meninggalkan trauma yang turut menjentik emosi ramai pihak.

"Lebih 185 negara 'sesak nafas' mengekang jangkitan angka, sedangkan bilangan jangkitan terus memuncak; manusia dikepung pandemik dahsyat dan diasak ke pertempuran rumit menghadapi musuh tidak terlihat, " titah baginda.


(Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.)

Media Baharu