fb fb fb fb fb

Sultan Nazrin: Keamanan hasil pengorbanan, tanggungjawab semua pihak

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga Dewan Negeri Yang Kelima Belas di Bangunan Perak Darul Ridzuan

IPOH, 15 April - Tanggungjawab memelihara keamanan bukan hanya tanggungjawab kerajaan tetapi merupakan tanggungjawab bersama.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah, keamanan bukan sesuatu yang mudah dicapai kerana ia hasil perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu.

Rakyat perlu menghargai dan mengamalkan nilai perpaduan, saling menghormati dan hidup dalam suasana toleransi dengan keinsafan.

"Jadikan teladan, pemimpin dua rumah ibadat itu membuka pintu rumah ibadat masing-masing kepada mangsa dan petugas, tanpa mengira identiti kaum atau agama untuk dijadikan tempat perlindungan, malah dibenarkan umat Islam menunaikan solat di dalam premis kuil," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga Dewan Undangan Negeri ke 15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Pada istiadat sama, Sultan Nazrin bertitah pihak berkuasa perlu mempergiatkan usaha pemantauan serta penguatkuasaan secara bersepadu, pantas dan tegas terhadap kewujudan kilang memproses e-waste secara haram di negara ini.

Baginda bertitah premis e-waste yang beroperasi secara haram menjalankan pemprosesan sisa buangan secara tidak terkawal, menyebabkan pencemaran udara, tanah dan air.

Titah baginda sisa toksik yang tidak dilupuskan dengan kaedah yang betul dan selamat, berisiko mencemarkan alam sekitar, serta memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia.

"Pada 15 Februari 2025, Perak dikejutkan apabila barangan bernilai RM1.3 bilion, disita melalui serbuan pihak berkuasa ke atas sebuah kilang memproses e-waste yang beroperasi secara haram di sungai," titah baginda.

Titah baginda lagi membuka kilang memproses e-waste tanpa permit merupakan perbuatan jenayah.  

Pelaku jenayah e-waste didorong kepentingan sempit untuk meraih keuntungan, nyata tidak mempedulikan kesan buruk kepada ekosistem kehidupan.

TETITIA YUSOFF