IPOH, 16 Jun- Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Masjid Abdul Rahman Auf (Ma’aruf) di sini.
Keberangkatan baginda disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan kepimpinan negeri.
Baginda kemudian berkenan menyertai takbir raya bersama-sama kariah masjid dan menunaikan solat Isyak secara berjemaah.
Selesai takbir dan solat, Sultan Nazrin kemudian meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama-sama para jemaah sebelum meninggalkan perkarangan masjid.
Pada awalnya, Masjid Abdul Rahman Auf adalah sebuah surau yang dibina di atas tanah berkeluasan 1,244 meter persegi pada 1 April 2004 dan siap dibina pada 1 April 2007.
Kos pembinaannya menelan kos lebih RM930,000 serta boleh memuatkan kira-kira 700 jemaah.