IPOH, 3 Mei - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Amal Nusantara anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang, di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini, malam ini.
Keberangkatan baginda berdua kira-kira pada pukul 8.30 malam disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohamad Zahir Abd Khalid; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abd Rahim dan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Datuk Seri Diraja Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin.
Presiden Kelab Bakti Gunung Keledang, Muhammad Hamzah Md Hamdan dalam sembah ucapan berkata, penganjuran makan malam amal itu bertujuan mengumpul dana untuk Yayasan Bakti Gunung Keledang bagi pelaksanaan program dan aktiviti kebajikan sepanjang tahun ini.
Kelab itu turut menyasarkan untuk membantu kerajaan negeri menyebarluas maklumat berkaitan program TVET dalam usaha memperkasa bidang tersebut.
Turut disampaikan dalam majlis itu sumbangan kepada 10 badan amal terpilih antaranya Rumah Anak Yatim Cahaya Kasih Abie, Taman Cempaka; Pusat Pendidikan Orang Asli Kampung Lalang dan Tabung Pelajar Yatim The Malay College Kuala Kangsar.
Majlis turut diserikan dengan persembahan penyanyi terkemuka tanah air Datuk M. Nasir.