fb fb fb fb fb

Sultan Kelantan hargai Kerajaan Persekutuan setuju panjangkan landasan LTSIP

Sultan Muhammad V

KOTA BHARU, 29 September- Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menzahirkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas persetujuan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa dari 2.4 kilometer (km) kepada 2.8 km.

Baginda bertitah, langkah tersebut merupakan usaha penting dalam menjadikan LTSIP sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa.

"Langkah ini adalah satu usaha untuk meningkatkan taraf lapangan terbang ini ke peringkat antarabangsa serta memperkukuh infrastruktur pengangkutan negara. Selain itu, jaringan pengangkutan darat juga memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

"Sukacita beta menyeru agar pelaksanaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT3) dapat dipercepatkan," titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Penghormatan Kebesaran Kelantan Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-55 di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Baginda turut berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan penambahan tempoh insentif pengecualian cukai di Kelantan selama 15 tahun lagi bagi memberi peluang kepada pelaburan baharu serta memastikan kejayaan dan kelestarian projek pembangunan jangka panjang di negeri tersebut.

Sultan Muhammad V juga menekankan keperluan kerajaan negeri meningkatkan prasarana dan pembangunan atlet sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2028, yang mana Kelantan akan menjadi tuan rumah.

"Harapan beta adalah agar negeri beta dapat bersaing dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Beta menyarankan sukan dijadikan sumber ekonomi baharu menerusi penganjuran sukan rekreasi dan pelancongan sukan," titah baginda.

Baginda turut menggesa agar kerajaan negeri dan Persekutuan meningkatkan penerokaan sumber tenaga baharu seperti hidrogen, pembangunan unsur nadir bumi dan tenaga solar yang berpotensi menjana sumber ekonomi baharu di Kelantan.

SITI AISHAH MD ISA