JOHOR BAHRU, 13 Disember- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan dimasyhur sebagai Canselor Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) pada Majlis Konvokesyen KUIJSI ke-21 yang berlangsung di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada Johor.
Manakala, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani pula dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor, pada majlis sama.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi catatan Facebook rasmi Baginda.
Majlis tersebut turut menyaksikan Pemasyhuran Naik Taraf Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) sebagai Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) yang disempurnakan oleh Sultan Ibrahim.
"Pemakluman Naik Taraf Kolej telah disempurnakan oleh Dato' Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor", menurut catatan tersebut.
Sementara itu, Dato' Onn Hafiz dalam ucapan aluannya berkata, Negeri Johor sangat bertuah bernaung dibawah DYMM Sultan Ibrahim yang sentiasa meletakkan keutamaan dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan di negeri tersebut.
"Kesultanan Johor seawal 1902 telah menitikberatkan pendidikan termasuk pendidikan agama. Pada tahun 1902, peraturan telah dikeluarkan mewajibkan pendidikan diberikan kepada kanak-kanak seawal usia 7 tahun.
"Kesultanan Johor memandang bahawa Pendidikan Islam bukanlah hanya bersifat keagamaan semata-mata tetapi juga meliputi keseluruhan aspek kehidupan,” katanya
Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Canselor kepada Nurul Shafiqah Mohd Azman.
Seramai 508 graduan menerima sijil diploma pada Konvokesyen KUIJSI Ke-21 pada hari ini.