KUALA LUMPUR, 13 Julai - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini berkenan menyantuni rakyat dalam suasana santai di Taman Botani Perdana, di sini.
Seri Paduka Baginda tiba pada pukul 7.00 pagi dan disambut meriah oleh orang ramai yang sedang menjalani pelbagai aktiviti riadah seperti berjoging, berbasikal dan bersenam di taman rekreasi tersebut.
Baginda berkenan meluangkan masa beramah mesra serta berinteraksi secara langsung dengan rakyat daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat, mencerminkan keprihatinan dan sifat mesra rakyat.
Sepanjang sesi santai tersebut, Seri Paduka Baginda berjalan kaki mengelilingi taman sambil menyapa para pengunjung dan tidak keberatan melayani permintaan orang ramai yang ingin merakam gambar kenangan bersama.
Kehadiran Seri Paduka Baginda disambut penuh keterujaan dan penghargaan para pengunjung, yang menyifatkan kesudian baginda turun padang sebagai satu penghormatan besar dan lambang keterbukaan institusi diraja terhadap rakyat.