fb fb fb fb fb

Sultan Ibrahim mencemar duli dekati rakyat

Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa bersalaman dengan rakyat

PONTIAN, 11 Disember- Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencemar duli bagi memeriahkan jamuan teh di Dataran Majlis Perbandaran Pontian, hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda pukul 3.30 petang tadi cukup menggembirakan lebih 3,000 penduduk rakyat Johor yang menghadiri jamuan itu.

Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa bersalaman dengan rakyat sebelum dipersembahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan.

Bagi pengunjung Wong Yong Kim yang ditemui pemberita, "kita semua rakyat Johor sangat bangga kerana tuanku akan menjadi Yang di-Pertuan Agong.

"Kami mengharapkan baginda boleh menjaga seluruh Malaysia," katanya

Sementara itu menurut Murugammah Sinnasamy, dia berbangga menjadi rakyat Johor kerana "baginda sering membantu rakyat. Dengan pelantikan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, saya amat berbesar hati."

Junaidah Abd Rahman pula berpendapat, Sultan Ibrahim menjadi kesayangan rakyat khususnya di Johor.

"Alhamdulillah, saya memang bersyukur dan gembira. Tuanku sangat baik, disayangi, dihormati dan dikasihi rakyat.

"Baginda Sultan juga prihatin kepada setiap rakyat dan permasalahan yang dihadapi," katanya.

Anakandanya, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan suaminya Datuk Dennis Muhammad Abdullah turut berangkat ke majlis itu.

Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Barisan Exco Kerajaan Negeri serta pegawai kerajaan.

Jamuan Teh bersama Rakyat ini merupakan Majlis yang ke tiga dan akan diteruskan di Kluang pada 14 Disember.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI