SHAH ALAM, 13 November – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim secara rasmi dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen UiTM kali ke-100, di sini hari ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menyampaikan Watikah Pemasyhuran kepada Sultan Ibrahim.
Turut hadir di majlis tersebut adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro Canselor UiTM dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menurut Seksyen 19A(2) Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173), Yang di-Pertuan Agong dilantik sebagai Canselor UiTM.
Berdasarkan peruntukan Seksyen 19A(1), Seri Paduka Baginda akan mempengerusikan majlis konvokesyen universiti serta memperkukuhkan peranan simbolik dan kepimpinan Baginda dalam institusi pendidikan tersebut.
Pada majlis yang sama, sepuluh graduan turut menerima Ijazah Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang penyelidikan.