fb fb fb fb fb

Sultan Ibrahim berangkat hadir ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim (kiri) bersama Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) berkenan berangkat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 di Istana Negara/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Februari- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 di Istana Negara hari ini.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja berlangsung selama dua hari bermula semalam itu dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut berangkat ke mesyuarat ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra, turut berangkat.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri.

Kali terakhir mesyuarat itu diadakan adalah pada 31 Januari lepas iaitu Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 bersempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Sementara itu cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Polis (Pindaan) 2023 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berhubung hal-hal kewarganegaraan turut dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata mesyuarat itu juga membincangkan mengenai pelantikan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Selain itu, Majlis telah disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan pertahanan negara daripada Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Beberapa perkara lain, yang melibatkan pentadbiran agama Islam dan hal-hal bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) termasuk pelantikan Pengerusinya turut dibincangkan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI