BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Februari- Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah menyambut baik rundingan cadangan pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) Malaysia-Brunei dan pengiktirafan bersama sijil vaksinasi.
Baginda percaya selain dapat melancarkan semula pergerakan rentas sempadan antara Brunei dan Malaysia, langkah itu akan menyumbang ke arah pemulihan ekonomi kedua-dua negara.
Baginda juga berharap kerjasama itu akan dapat diperluaskan khususnya dengan Sabah dan Sarawak dalam meningkatkan kesalinghubungan perdagangan.
Sultan Hassanal bertitah dengan situasi wabak COVID-19 yang masih melanda dunia, Brunei dan Malaysia harus terus berganding bahu dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat terus terjamin.
"Alhamdulillah, kedua negara ini, kita terus berganding bahu dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat agar sentiasa terjamin, Beta menyambut baik perundingan dan pengikhtirafan bersama sijil vaksinasi COVID-19 serta penubuhan laluan perjalanan lengkap vaksin bagi melancarkan semula pergerakan rentas sempadan.
"Ini akan memberi keyakinan dengan pihak swasta untuk terus bergerak maju ke hadapan dan dalam fasa pemulihan COVID-19," titah baginda pada Majlis Santapan Rasmi di Istana Nurul Iman di sini.
Majlis santapan itu diadakan selepas pertemuan empat mata antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dan Sultan Hassanal sempena lawatan rasmi Ismail Sabri dan delegasi ke Brunei bermula Isnin.
"Hubungan akrab yang sekian lama terjadi antara kerabat diraja mahupun kerajaan serta rakyat kedua negara kita adalah keunikan yang unggul dari keistimewaan yang berpaksikan kesamaan agama, rumpun sejarah dan bahasa.
"Oleh itu adalah penting untuk terus menyemai hubungan yang saat bermakna ini demi memupuk persefahaman dan silatulrahim antara kita," titah baginda.
Sementara itu, Ismail Sabri dalam ucapan balas berkata hubungan yang begitu erat antara Malaysia dan Brunei telah membuka peluang kerjasama kepada kedua-dua negara dalam pelbagai bidang yang bermanafaat bersama meliputi perdagangan, kesihatan, pertahanan dan pelancongan.
"Hubungan negara bersaudara ini tidak hanya terhad kepada hubungan di peringkat dua hala sahaja namun hubungan akrab rakyat kedua-dua negara turut berada pada tahap yang membanggakan," kata Perdana Menteri.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama Ismail Sabri ke Brunei selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Ogos lalu.