Sukma Waja medium perkasa, dukung kesejahteraan wanita

FOTO BERNAMA

KUANTAN, 16 Februari – Program Wanita Jelajah Desa (Sukma Waja) menjadi medium memperkasa dan mendukung kesejahteraan golongan wanita.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Sukma Waja memperkasa wanita melalui aktivisme komuniti sebagai penghubung kepada rakyat di peringkat akar umbi.
  • Pendidikan dan advokasi hak wanita dijalankan secara berterusan untuk meningkatkan kesejahteraan dan perlindungan.
  • Meningkatkan penyertaan wanita dalam kepimpinan politik penting agar suara mereka lebih didengari dalam pembuat dasar.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fadhlina Sidek berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah strategik untuk memenangi hati masyarakat, khususnya golongan wanita, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Menurut beliau, pelbagai pengisian diatur, termasuk pendekatan pendidikan kekeluargaan dan perlindungan terhadap wanita.

“Jadi, komponen Sukma Waja ini sangat penting. Pertama, aktivisme; kita akan melihat mereka turun ke dalam masyarakat dan menjadi penghubung kepada komuniti.

“Kedua ialah pendidikan. Sebentar tadi, kita melihat bagaimana sesi tersebut dimulakan dengan kesedaran serta advokasi hak-hak wanita yang akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Kita amat percaya bahawa apabila wanita sejahtera, dilindungi, serta diberikan tumpuan dan perhatian khusus dalam pembangunan ekonomi, sosioekonomi dan pendidikan, maka negara juga akan turut sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Sukma Waja di sini.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, jentera Sukma Waja berperanan sebagai penghubung agar maklumat kerajaan sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi dengan lebih baik.

Pada program sama, beliau juga merasmikan Silat Srikandi Gelanggang Seri Teja yang menjadi salah satu pengisian Sukma Waja.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang prihatin terhadap kesejahteraan wanita.

Ini dapat dibuktikan melalui pelaksanaan pelbagai dasar seperti Dasar Wanita Negara dan Dasar Keluarga Kebangsaan.

Katanya, penyertaan golongan wanita dalam kepimpinan politik masih perlu dipertingkatkan bagi memastikan suara mereka lebih didengari di peringkat pembuat dasar.