fb fb fb fb fb

SUKMA 2024: Melaka sasar 20 pingat emas

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam

AYER KEROH, 4 Mac- Melaka sasar 20 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak, Ogos ini.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam berkata pihaknya optimis sasaran itu dapat dicapai berdasarkan prestasi memberangsangkan daripada atlet yang terlibat.  

Shanmugam berkata persiapan menjelang SUKMA 2024 untuk pasukan Melaka sudah berjalan 60 peratus bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai.  

"Tahun lalu pun kita semakin hampir dengan sasaran itu, 17 pingat. Salah seorang atlet renang akuatik tidak dapat menyertai temasya itu disebabkan ada masalah kesihatan dan keluarga. Di situ, kita hilang dua pingat, tambahan pula ia adalah pingat sasaran kita."

"Begitu juga dengan acara muay thai. Muay thai juga kita sasarkan untuk rangkul emas. Sebelum ini kita dapat perak dan perbezaan markah itu hanya 0.5 atau 1.0. Maka, dengan angka itu, kita cuba sekali lagi untuk sasaran emas," kata Shanmugam kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Bapa Angkat, Jabatan Angkat dan Anak Angkat SUKMA Sarawak di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Seramai 27 bapa angkat dalam kalangan Ahli Yang Berhormat, Ahli Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri, 38 Jabatan Angkat dan 35 Anak Angkat daripada Persatuan Sukan Negeri terlibat.

Terdahulu, pada edisi SUKMA lepas di Kuala Lumpur skuad Melaka meraih 17 emas, 11 perak dan 23 gangsa.

Sementara itu, wushu, akuatik, gimrama dan silat terus menjadi tumpuan buat kontinjen Melaka dalam meraih kilauan emas pada temasya SUKMA berkenaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM