fb fb fb fb fb

Sukarelawan Al-Falah MADANI digerak bantu penduduk terjejas banjir

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Na’im Mokhtar / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 30 November – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menggerakkan Pasukan Sukarelawan Al-Falah MADANI untuk membantu masyarakat yang terjejas akibat musibah banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Na’im Mokhtar memaklumkan pasukan itu terdiri daripada agensi hal ehwal Islam yang akan melaksanakan program khidmat bantuan dan pertolongan pasca banjir.

"Pasukan ini diselaraskan bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

"Mereka akan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri, serta agensi-agensi pusat dan pihak berkuasa yang terlibat dalam pengurusan bencana," katanya menerusi kenyataan.

Na’im turut menyatakan keprihatinan terhadap musibah banjir yang melanda beberapa negeri, dengan ramai rakyat terkesan.

Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk bersolidariti dalam membantu meringankan beban mangsa.

"Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan melalui Tabung Musa’adah Musibah Banjir, yang dikelolakan oleh JAKIM dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), dengan nombor akaun CIMB BANK 86-0221818-6," katanya.

Beliau turut mendoakan semoga mangsa banjir diberikan kesabaran dan kemudahan dalam menghadapi ujian tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN