Sukar sokong ‘Board of Peace’ selagi tiada jaminan untuk Palestin

Datuk Seri Anwar Ibrahim

BANGI, 23 Januari – Kerajaan berpandangan adalah sukar untuk memberikan sokongan awal terhadap cadangan penubuhan ‘Board of Peace’ selagi tiada jaminan jelas dan tegas berhubung nasib rakyat Palestin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan sukar sokong cadangan Board of Peace tanpa jaminan jelas untuk nasib rakyat Palestin.
  • Anwar tekankan syarat utama mesti dipenuhi sebelum sokongan dipertimbangkan.
  • Keperluan: pengiktirafan Palestin, hentikan serangan rejim Israel, pulihkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
  • Ketiadaan pelaksanaan perkara asas menyukarkan Malaysia sokong sebarang inisiatif keamanan sekarang.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beberapa syarat utama perlu dipenuhi sebelum sebarang sokongan boleh dipertimbangkan.

Antara keperluan mendesak ialah pengiktirafan terhadap Palestin, penghentian sepenuhnya serangan kejam rejim Zionis Israel, serta pemulihan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Kita ikuti dan kita agak sukar melainkan ada jaminan yang betul-betul baik dan tegas soal rakyat Palestin di Gaza, pengiktirafan, menghentikan serangan ganas dan biadab yang dilakukan rejim Israel dan memulihkan bantuan kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Al-Amin, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, di sini hari ini.

Sehingga kini perkara-perkara asas tersebut belum dilaksanakan, sekali gus menyukarkan Malaysia untuk memberikan sokongan terhadap sebarang inisiatif keamanan yang tidak menjamin perlindungan hak dan keselamatan rakyat Palestin.

“Ini belum dilakukan, jadi agak kita sukar untuk memberikan sokongan awal,” katanya lagi.