fb fb fb fb fb

Sukan tradisional jadi tumpuan Karnival Sukan HAWANA 2025

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 21 Disember – Karnival Sukan HAWANA 2025 yang dianjurkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) menerima sambutan menggalakkan, sekali gus mencerminkan kesepakatan dan komitmen tinggi dalam kalangan warga media.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaluddin, penganjuran karnival sukan berskala lebih besar itu sebenarnya merupakan hasil cadangan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada tahun lalu, yang mahu acara sukan sempena HAWANA diperluaskan dengan penglibatan lebih banyak penyertaan.

“Tahun lalu kita lebih memberi tumpuan kepada acara seperti bowling, bola sepak dan bola jaring. Namun tahun ini kita mengambil peluang untuk memperbanyakkan acara kerana kita memahami tidak semua petugas dan agensi media dapat menyertai sukan yang bersifat lasak, jadi kite tumpu pada sukan tradisional,” katanya.

Sehubungan itu, menurut beliau, penganjur memberi penekanan kepada sukan-sukan tradisional sebagai alternatif yang lebih inklusif, sekali gus memberi ruang kepada lebih ramai pengamal media untuk turut serta dalam suasana santai dan menyeronokkan.

Datin Paduka Nur-ul Afida turut merakamkan penghargaan kepada empat pasukan utama, iaitu RTM, BERNAMA, IKIM dan FINAS yang mengambil bahagian dalam karnival berkenaan, sekali gus menyumbang kepada kemeriahan program.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa penganjur turut menawarkan hadiah kemenangan yang lumayan, dengan juara membawa pulang RM4,000, manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing menerima RM3,000.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa matlamat utama penganjuran karnival sukan itu bukanlah kemenangan, sebaliknya untuk memperkukuh silaturahim dalam kalangan warga media, khususnya menjelang penghujung tahun 2025.

“Kita ambil ruang dan masa untuk bersama-sama, merapatkan hubungan, saling bergembira. Tidak kisah kalah atau menang, yang penting kita dapat berkenalan dan mengeratkan silaturahim,” katanya.

Mengulas perancangan masa depan, Datin Paduka Nur-ul Afida berkata penganjur akan meneliti dan mengenal pasti sukan-sukan yang menjadi tarikan utama untuk penganjuran Karnival Sukan HAWANA pada tahun 2026, dengan beberapa cadangan baharu telah dikemukakan.

“Insya-Allah, semua cadangan ini akan dipertimbangkan demi memastikan penganjuran akan datang lebih menarik dan memberi impak yang lebih besar,” katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM