BUKIT SERINDIT, 30 Jun- Sukan tempur yang kini diklasifikasikan sebagai aktiviti sukan dan bukan lagi badan beruniform dijangka akan melahirkan lebih ramai atlet untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa.
Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh berkata menerusi penyelarasan antara kementerian itu dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ia akan membantu melahirkan lebih ramai atlet daripada sukan itu selepas ini.
Beliau berkata di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576), sukan tempur seperti silat, wushu, taekwando dan karate dikategorikan sebagai sukan namun sebaliknya berlaku di peringkat sekolah apabila dikategorikan sebagai badan beruniform.
"Itu adalah salah satu keputusan yang telah dibuat untuk pastikan sukan tempur sekarang di bawah aktiviti sukan di peringkat sekolah. Ini penting kalau kita nak dapatkan lebih ramai lagi peserta di peringkat sekolah untuk bantu kita dalam sukan SEA, semua penyelarasan ini saya percaya akan membantu rekrut lebih ramai lagi atlet. Semua penyelarasan perlu dilakukan di peringkat kementerian itu kerana di bawah KBS akta pembangunan sukan memang telah menyenaraikan ia sebagai sukan," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Kejohanan Wushu KPM-WFM ke-12 2023 di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini.
Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) pembangunan sukan sebelum ini memutuskan sukan tempur sebagai aktiviti sukan berbanding aktiviti badan beruniform di sekolah bagi memastikan atlet sukan tempur di sekolah mendapat pengiktirafan yang setara dengan sukan lain.
Namun katanya, penyelarasan perlu dilaksanakan di peringkat KPM dan KPT selepas ini bagi merealisasikan perkara berkenaan.
(Namun katanya, penyelarasan perlu dilaksanakan di peringkat KPM dan KPT
selepas ini bagi merealisasikan perkara berkenaan)