fb fb fb fb fb

Subsidi RON95, kaedah 'harga dua peringkat' diperhalusi - Rafizi

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 20 Oktober- Kerajaan sedang memperhalusi mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api RON95 melalui sistem harga dua peringkat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata mekanisme itu akan membolehkan 85 peratus rakyat yang layak di negara ini terus kekal menikmati subsidi harga petrol.

"Tapi bila buat 'tier-pricing petrol' sudah tentu mekanismenya perlu berlainan. Ia perlu dibincangkan lebih lanjut dan diperhalusi kerana melibatkan 30 juta orang. Jadi, konsepnya tier-pricing," kata Rafizi kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian sambutan Hari Statistik Kebangsaan 2024 dan pra-pelancaran Laman Statistik di Putrajaya.

Jelasnya, perbincangan terperinci akan melibatkan kementeriannya dan Kementerian Kewangan bersama pihak berkepentingan, termasuk Persatuan Penjaja Petrol.

Pada pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa pelan subsidi bersasar untuk bahan api RON95 akan diperkenalkan pada pertengahan tahun depan.

Sementara itu, beliau berpendapat bahawa Belanjawan 2025 menepati perancangan kerajaan dalam meletakkan negara di landasan yang tepat bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi tanpa memotong perbelanjaan kepada rakyat.

"Walaupun ia yang terbesar dalam sejarah tetapi tahun depan, kita akan terus mengurangkan hutang. Jadi, hutang tahunan itu daripada RM100 bilion, turun RM95 bilion (2022), RM90 bilion (2023) dan anggaran 2024 sebanyak RM85 bilion dan tahun depan kita sasar lagi kurang, RM80 bilion.

Daripada segi fiskal, kita perlu mengurangkan hutang baharu tahunan ini untuk kita mencecah sekitar 60 peratus hutang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang 2028," tambah Rafizi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM