
KUALA LUMPUR, 27 Januari – Inisiatif subsidi kerajaan bagi menstabilkan harga tiket penerbangan sempena musim perayaan sejak dua tahun lalu terbukti berkesan dalam mengekang lonjakan harga tiket, khususnya bagi laluan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
- Subsidi kerajaan dan had maksimum tambang stabilkan harga tiket semasa musim perayaan, terutamanya ke Sabah dan Sarawak.
- Skim subsidi menampung perbezaan harga, tetapi kos tinggi menyebabkan ia hanya untuk penerbangan sehala Semenanjung ke Sabah/Sarawak.
- Syarikat penerbangan tambah kapasiti dan menawarkan tambang tetap bagi menampung lonjakan permintaan musim perayaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, campur tangan kerajaan melalui penetapan harga maksimum tambang penerbangan membantu rakyat daripada menanggung kos tinggi ketika tempoh permintaan puncak.
Menurut beliau, langkah itu dilaksanakan dalam tempoh tiga hari sebelum musim perayaan, iaitu fasa permintaan tertinggi, dengan kerajaan menanggung perbezaan harga melalui skim subsidi kepada syarikat penerbangan.
“Jadi, dengan kita membuat intervensi dalam dua tahun kebelakangan ini, kita tidak lagi mendengar harga tiket melambung hingga lebih RM1,000 untuk sektor balik ke Sabah dan Sarawak,” katanya.
Loke berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kempen “Fixed Fares for Your Reunion” oleh Batik Air bagi perjalanan sempena Tahun Baharu Cina, termasuk pengumuman laluan tambang tetap serta penambahan kapasiti penerbangan bagi menampung peningkatan permintaan musim perayaan.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy.
Mengulas lanjut, Loke berkata inisiatif tambang tetap oleh syarikat penerbangan itu selari dan melengkapi dasar kerajaan yang menetapkan harga maksimum tambang penerbangan pada RM499 sebelum cukai bagi semua penerbangan terlibat.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan pelaksanaan harga maksimum tersebut melibatkan implikasi kewangan yang besar, dengan kerajaan membelanjakan lebih RM20 juta setahun, justeru ia hanya dilaksanakan bagi penerbangan sehala dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, menyentuh mengenai permintaan penerbangan sempena musim perayaan, Loke berkata penyedia perkhidmatan penerbangan turut menambah penerbangan tambahan, termasuk bagi laluan Johor Bahru–Sibu meskipun ia bukan laluan berjadual.
“Permintaan ke Sibu kekal tinggi setiap kali musim perayaan kerana lapangan terbang itu berfungsi sebagai pintu masuk utama ke kawasan tengah Sarawak seperti Sarikei dan Kapit,” katanya.