fb fb fb fb fb

Subsidi diesel untuk pembajakan dalam peringkat akhir perbincangan

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Februari – Perbincangan bagi membolehkan penyedia perkhidmatan pembajakan, pengangkutan, dan peralatan pertanian lain yang menggunakan diesel mendapat subsidi kini memasuki peringkat akhir.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perbincangan antara KPKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, dan Kementerian Kewangan itu bertujuan memastikan bantuan diesel dapat disalurkan kepada golongan sasar bagi mengurangkan kos pembajakan serta meringankan beban pesawah.

"Kajian terperinci diperlukan untuk memastikan subsidi ini dapat disalurkan dengan tepat, kerana penggunaan peralatan pertanian tidak bersifat tetap," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamad Sabu turut menegaskan kerajaan tidak akan mengabaikan kebajikan pesawah dan akan terus menyediakan subsidi bagi menjamin kesejahteraan mereka serta kelangsungan sektor pertanian negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN