fb fb fb fb fb

Subsidi diesel bersasar demi keadilan, ketelusan ekonomi

(Foto hiasan) Pemilik komersial bermotor diesel akan terus menikmati harga diesel bersubsidi dengan penggunaan 'fleet card' - KPDN

PETALING JAYA, 30 Mei- Pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel di Semenanjung dibuat bagi memastikan penjimatan dan bantuan sampai kepada golongan sasar, sekali gus memupuk persekitaran ekonomi yang seimbang serta adil.

Setiausaha Politik Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Manivanan Gowin berkata, kerajaan juga berupaya meringankan beban kewangan ke atas segmen masyarakat yang paling terdedah kepada peningkatan kos sara hidup melalui penyasaran subsidi kepada kumpulan tertentu tersebut.

Ia juga adalah tanda positif dedikasi pemimpin negara terhadap pengurusan fiskal yang berhemah dan usaha mereka memperjuangkan keadilan sosial.

Bagaimanapun, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa usaha untuk merealisasikan sepenuhnya manfaat reformasi berkenaan bukan mudah dan penuh cabaran.

"Pendekatan yang diambil Kerajaan bertujuan untuk memberikan manfaat secara langsung kepada mereka yang memerlukan tanpa mengganggu sektor logistik atau ekonomi secara amnya.

"Kita menyedari bahawa antara kebimbangan utama rakyat Malaysia ialah potensi kesan reformasi subsidi ini terhadap harga barangan. Kebimbangan ini ada asasnya, memandangkan sebarang perubahan dalam harga bahan api boleh memberikan kesan terhadap rantaian bekalan, menjejaskan kos pengangkutan dan seterusnya meningkatkan harga barangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun, jelas Gowin, kerajaan telah memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pendekatan berkenaan tidak akan menyebabkan kenaikan harga menerusi pelbagai usaha antaranya menyediakan peruntukan subsidi bersasar kepada kumpulan tertentu, membuat pemantauan melibatkan pengumpulan data dan analisis untuk melihat trend perubahan harga secara berterusan.

Selain itu, menjalin kerjasama dengan persatuan pengguna untuk mendapatkan maklum balas mengenai keadaan sebenar di lapangan serta kawalan pasaran secara kendiri.

Gowin menambah, skim subsidi baharu itu juga bukan semata-mata berkaitan penjimatan segera tetapi turut dilaksanakan untuk keuntungan jangka panjang bagi negara.

"Dengan membanteras penyeludupan diesel dan mengagihkan semula sumber secara efisien, Malaysia dapat mengelakkan kerugian harian yang besar nilainya," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Perutusan Negara baru-baru ini memaklumkan Kabinet bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel membabitkan pengguna di Semenanjung yang dianggar membawa penjimatan sebanyak RM4 bilion setiap tahun kepada kerajaan.

Bagi membendung kenaikan drastik harga barangan dan perkhidmatan di Semenanjung, Anwar berkata, kerajaan akan menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel.

ARTIKEL BERKAITAN
Sistem MySubsidi Diesel, 'Fleet Card', bermula bulan depan
Bantuan tunai subsidi diesel untuk sektor pertanian, bawah Program BUDI Agri-Komoditi
Penyasaran subsidi diesel, GPBSM sambut baik langkah kerajaan
'Subsidi diesel beri ruang pengguna nikmati harga lebih rendah' - Pengguna
Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, tindakan berani - Nga
Penyasaran subsidi bahan api bermula dengan diesel di Semenanjung Malaysia- PM
MySubsidi Diesel, boleh pilih tiga syarikat minyak
Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 diperluas
Kerajaan teruskan subsidi diesel bersasar, guna sistem 'fleet card'
Segera mohon 'fleet card' untuk terus nikmati harga diesel subsidi- Fuziah

SITI AISHAH MD ISA