fb fb fb fb fb

Subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif angkat sahsiah pelajar

Norhayati (dua dari kanan) menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Buku UPSI Ke-19 dan Peluncuran Buku Biografi Pelopor Pembaharuan Pendidikan Negara, Tan Sri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI semalam./ Foto UPSI

TANJUNG MALIM, 8 November-Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuhkan peranannya dalam dunia sastera dan penulisan kreatif menerusi peluncuran buku biografi Pelopor Pembaharuan Pendidikan Negara, Tan Sri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata usaha yang dilakukan UPSI penting kerana ia mampu membentuk jati diri masyarakat.

Jelas Fadhlina, penekanan terhadap mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif sebagai imbangan kepada subjek STEM dan TVET perlu untuk membina akhlak dan sahsiah dalam kalangan pelajar.

"Subjek ini sangat dekat dengan masyarakat dan mampu mengubah sebuah peradaban selain memupuk nilai dan membina akhlak yang baik dalam kalangan pelajar sekolah", katanya.

Fadhlina turut melihat peluncuran Buku Biografi Pelopor Pembaharuan Pendidikan Negara, Tan Sri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin sebagai inisiatif permulaan kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan UPSI bagi mengetengahkan biografi mantan kepimpinan pendidikan tersohor.

Tambah Fadhlina biografi berkenaan sesuai dijadikan bahan bacaan warga pendidik dan pelajar seluruh negara.

“Buku biografi ini menempa sejarah apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Buku Negara 2023 dalam kategori Pengajian Tinggi: Biografi Terbaik di Majlis Anugerah Buku Negara 2023 bertempat di WTC, Kuala Lumpur pada 22 Disember 2023 dan pada 6 November lalu.

"Buku ini menempa kejayaan lagi apabila menerima Anugerah Penerbitan Buku sempena Anugerah Akademia Bitara 2023", katanya menerusi ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Pengarah Kanan, Kluster Dasar, Kualiti dan Penghasilan, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (KPM), Norhayati Ab Wahab sempena Majlis Perasmian Pesta Buku UPSI Ke-19 dan Peluncuran Buku Biografi Pelopor Pembaharuan Pendidikan Negara, Tan Sri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin anjuran Penerbit UPSI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di sini pada Khamis.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata UPSI sentiasa bersedia untuk menjalin kerjasama bersama KPM dalam memartabatkan lagi sistem pendidikan di Malaysia.

“UPSI dan KPM umpama satu keluarga besar yang mempunyai pertalian dan hubungan rapat dapat melahirkan graduan negara bagi mendidik anak bangsa di sekolah", katanya di sini.

Pesta Buku UPSI edisi ke-19 berlangsung di Dewan SITC, UPSI bermula 6 hingga 9 November menghimpunkan 26 pempamer selain kehadiran reruai jualan dan makanan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD