
SHAH ALAM, 16 Mac – Kesedaran masyarakat terhadap hak dan tanggungjawab sebagai pengguna terus diperkasa menerusi sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026.
- KPDN Selangor giat jalankan program advokasi dan pendidikan pengguna di seluruh negeri termasuk Bazar Ramadan RAHMAH.
- Tema "Suara Kita, Kuasa Kita" galakkan pengguna menuntut hak serta melaporkan penipuan kepada pihak berkuasa.
- Inisiatif seperti Program Ihsan Food Bank, Program Aduan Suri dan Price Catcher dipertingkat untuk lindungi pengguna.
- Lebih 3,000 aduan diterima tahun lalu; isu utama melibatkan harga barang, transaksi dalam talian dan produk mengelirukan.
Di Selangor, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan pelbagai program aktiviti kepenggunaan termasuk advokasi serta pendidikan pengguna bagi meningkatkan kefahaman masyarakat.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata inisiatif itu dilaksanakan di seluruh negeri termasuk di Bazar Ramadan RAHMAH yang diadakan di 16 lokasi.
Menurutnya, usaha tersebut selari dengan sambutan Hari Pengguna Kebangsaan tahun ini yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu, Sabah semalam.
Tambah beliau, tema sambutan tahun ini iaitu “Suara Kita, Kuasa Kita” membawa mesej bahawa pengguna mempunyai kuasa melalui suara dan tindakan mereka dalam menuntut hak serta melaporkan sebarang penipuan kepada pihak berkuasa.
Pelancaran peringkat negeri pula diadakan di Seksyen 17, di sini sebagai simbol komitmen kerajaan untuk terus memperkasa program kepenggunaan selaras dengan Dasar Pengguna Negara.
Sempena dengan sambutan itu, KPDN Selangor turut melaksanakan beberapa inisiatif termasuk Program Ihsan Food Bank, Program Aduan Suri, Price Catcher serta Kempen Kita Pengguna.
Selain itu, pelbagai program pendidikan kepenggunaan turut dianjurkan seperti pertandingan Celik Kepenggunaan, sketsa muzikal melibatkan pelajar sekolah menengah serta pertandingan bicara berirama bagi murid sekolah rendah.
Di peringkat komuniti pula, pertandingan Eksplorasi Troli Pintar serta program orientasi celik kepenggunaan termasuk pertandingan kugiran akan diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap hak pengguna.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Hanif memaklumkan KPDN Selangor menerima antara 3,000 hingga 4,000 aduan pengguna sepanjang tahun lalu.
Antara aduan utama melibatkan isu harga barang, transaksi dalam talian serta produk yang mengelirukan.
Sepanjang Ramadan pula, kebanyakan aduan berkaitan harga barangan termasuk beras dan barangan asas selain kes tanda harga serta jualan terlalu mahal di bazar Ramadan.
Beliau menegaskan peningkatan jumlah aduan itu menunjukkan kesedaran pengguna semakin tinggi untuk tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.
KPDN Selangor berharap usaha memperkasa aktivisme kepenggunaan ini dapat membentuk masyarakat yang lebih peka, berpengetahuan serta berani menuntut hak sebagai pengguna.