fb fb fb fb fb

Suami kehilangan ibu dan isteri dalam tempoh 24 jam

Hadi Abdul Rahman ketika dihubungi berkata isterinya, Noor Habibi Hamid, 55, terlibat nahas ketika dalam perjalanan menghadiri pengebumian ibunya.

GUA MUSANG, 21 Mac- Seorang suami yang baru sahaja kehilangan ibu semalam, hari ini dikejutkan dengan berita kematian isterinya yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Merapoh, di sini berhampiran Kuala Lipis, pagi tadi.

Hadi Abdul Rahman ketika dihubungi berkata isterinya, Noor Habibi Hamid, 55, terlibat nahas ketika dalam perjalanan menghadiri pengebumian ibunya.

Allahyarham merupakan Penolong Jurutera di Unit Siaran (MCR) Seksyen Produksi Radio RTM dan mula berkhidmat sejak tahun 1995.

Allahyarham meninggalkan suami dan seorang anak lelaki berusia 26 tahun.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Gua Musang, Muhammad Shaheer Safari Mohd Noor memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden tersebut pada pukul 7.47 pagi.

"Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah lori treler dengan sebuah kereta Perodua Myvi.

"Lori treler yang berhenti di tepi jalan dirempuh oleh kereta yang dinaiki mangsa bersama tiga individu lain. Seorang daripadanya cedera parah, manakala dua lagi cedera ringan," katanya.

Tambah Muhammad Shaheer, pemandu dan penumpang lori treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital bagi menerima rawatan ,sementara mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak forensik untuk tindakan lanjut.

Semalam, RTM turut kehilangan seorang kakitangan, Allahyarham Mohd Firdaus Azahar yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Puncak Jalil, Selangor.

ZEHRA BINTI ZAMBRI