KANGAR, 6 Oktober – Kementerian Komunikasi masih belum membuat keputusan mengenai pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) yang baharu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, untuk mengkaji struktur JKOM bagi tujuan penyelarasan organisasi.
“Penyelarasan itu dari sudut perjawatan, dari segi organisasi. Kita berhasrat untuk memindahkan secara fizikal pejabat JKOM balik ke kementerian, maksudnya fungsinya kita akan teliti semula.
"Setakat ini pelantikan bagi mengisi jawatan terbabit masih belum diputuskan dan tugas Ketua Pengarah JKOM dipangku oleh timbalannya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kita MADANI Peringkat Perlis hari ini.
Program itu dihadiri oleh lebih 1,000 pegawai dan kakitangan pelbagai agensi, Komuniti MADANI, serta masyarakat setempat.
Bekas Ketua Pengarah, Dr Mohd Khairuddin Othman, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, ditamatkan perkhidmatan sebagai KP JKOM pada 24 September lalu.