fb fb fb fb fb

Struktur gaji, imbuhan jurutera perlu dikaji semula

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 19 September- Struktur gaji dan imbuhan jurutera perlu dikaji semula berikutan nisbah jurutera kepada penduduk Malaysia berada pada 1:170 berbanding 1:100 di negara maju.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu dilihat penting bagi menarik lebih ramai pelajar melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan.

"Seperti anda semua sedia maklum, berdasarkan laporan yang diterima, 35 peratus daripada jurutera muda berpendapatan bawah RM2,000 sebulan. Di samping itu, kita harus memikirkan landskap pendidikan kita yang pada masa ini hanya mempunyai kira-kira 45 peratus pelajar yang mengikuti bidang berkaitan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

"Angka itu kurang daripada sasaran 60 peratus yang ditetapkan oleh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Menyedari kelemahan ini, kerajaan giat mempromosikan STEM melalui inisiatif seperti Techlympics dan Minggu Sains Kebangsaan untuk memupuk minat pelajar dalam sains dan teknologi menjelang 2030," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran ENGINEER & MARVEX 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ibu negara.

Bagi menangani isu tersebut, beliau menggesa pemain industri dan institusi pendidikan untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menarik minat pelajar mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan menjadikan ianya pilihan kerjaya.

Malaysia perlu meningkatkan bakat kejuruteraan untuk memenuhi permintaan industri dan memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi, kerana profesion itu penting dan memberi kesan langsung kepada masa depan industri seperti pembinaan dan pembuatan.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad, Presiden Persatuan Penyaman Udara dan Penyejukan Malaysia (MACRA) Peter Tan Chin Wah, Presiden C.I.S Datuk Vincent Lim dan Presiden Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Prof Dr Jeffrey Chiang Choong Luin.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI