fb fb fb fb fb

'Street Dakwah' usaha bersasar dekati komuniti

Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya (dua, kanan) ditemui pada kejohanan Futsal Parlimen Kangar.

KANGAR, 15 Jun - Penganjuran program 'Street Dakwah' atau dakwah jalanan usaha bersasar Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mendekati komuniti pelbagai peringkat usia, kaum dan latar belakang di Perlis.

Program tersebut dilaksanakan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri bagi Parlimen Kangar.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti KEMAS Parlimen Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, penganjuran program itu mendekatkan lagi agensi itu dengan masyarakat.

Selain itu, mesej dakwah dapat disampaikan dengan lebih berkesan seterusnya memperkukuhkan lagi peranan KEMAS dalam pembangunan masyarakat.

‘’Program telah dilaksanakan secara berperingkat dengan melibatkan kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri dimana program bersifat komuniti sebegini bukan sahaja menumpukan kepada aktiviti semata-mata tetapi yang paling penting adalah ilmu diperolehi.

“Walaupun dilaksanakan secara skala kecil di peringkat komuniti tetapi yang penting adalah impak setiap program kepada komuniti meliputi kesejahteraan sosial, pembangunan ekonomi setempat, pengukuhan identiti komuniti dan peningkatan kualiti hidup," katanya, di sini.

Beliau ditemui media pada kejohanan Futsal Parlimen Kangar di Kampung Desa Permai, Kayang.

Program disertai lebih 100 pemain mewakili setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Parlimen Kangar.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN