
KUALA LUMPUR, 17 Mac — Kerajaan menyambut baik usaha Intel Corporation untuk memulakan operasi kompleks baharunya di Malaysia menjelang akhir tahun ini.
- Mesyuarat antara Perdana Menteri dan CEO Intel membincangkan perkembangan peluasan pelaburan syarikat di Malaysia
- Menekankan sokongan pembangunan kompleks pembungkusan termaju serta kemudahan pemasangan dan ujian
- Fasa pertama dimulakan dengan operasi pemasangan dan ujian, disertai latihan berterusan untuk meningkatkan kemahiran bakat tempatan
- Kerajaan akan terus menjadi rakan dan pemudah cara pelaburan strategik, menjana peluang pekerjaan bernilai tinggi selaras Strategi Semikonduktor Nasional
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebook rasmi memaklumkan, satu pertemuan telah diadakan pada Isnin bersama Ketua Pegawai Eksekutif Intel, Lip Bu Tan bagi membincangkan perkembangan terkini peluasan pelaburan syarikat itu di negara ini.
Beliau berkata, perbincangan tertumpu kepada usaha menyokong pembangunan kompleks pembungkusan termaju serta kemudahan pemasangan dan ujian, yang merupakan komponen utama dalam peluasan pelaburan Intel di Malaysia.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Pengurus Besar Intel Foundry, Naga Chandrasekaran memaklumkan, fasa pertama kompleks berkenaan dijangka dimulakan dengan operasi pemasangan dan ujian bagi pembungkusan termaju.
Menurut beliau, penekanan turut diberikan kepada latihan berterusan serta peningkatan kemahiran bakat tempatan bagi menyokong keperluan industri semikonduktor.
Usaha itu penting dalam menjana peluang pekerjaan bernilai tinggi, selaras dengan aspirasi ekonomi MADANI.
Kerajaan MADANI akan terus memainkan peranan sebagai rakan dan pemudah cara kepada pelaburan strategik yang memberi manfaat jangka panjang, sejajar dengan pelan pembangunan negara termasuk Strategi Semikonduktor Nasional.