
SEREMBAN, 24 Januari – Pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) melibatkan peruntukan RM1.1 bilion dilihat sebagai salah satu inisiatif Kerajaan MADANI kepada golongan berkelayakan menerima bantuan lebih konsisten dan berterusan bagi memenuhi keperluan asas.
- Sumbangan STR membantu penerima menampung perbelanjaan harian dan asas bulanan dengan lebih stabil.
- Benefisiari gunakan bantuan untuk keperluan sekolah, persiapan Ramadan dan barangan dapur.
- Bantuan dirasai melegakan khususnya golongan B40, pesara dan OKU.
- Penerima berharap jumlah bantuan dapat ditingkatkan selari kenaikan harga barangan.
Rata-rata penerima di Negeri Sembilan memanfaatkan sumbangan berkenaan untuk menyokong perbelanjaan harian dan asas bulanan yang lebih stabil.
Pasangan suami isteri Mohd Fauzi Abu Aman dan Noraini Amran berkata, bantuan itu memberi keselesaan terutama kepada ibu-bapa yang kurang berkemampuan untuk menampung perbelanjaan sekolah dan persiapan menyambut Ramadan.
“Bagi saya, baguslah kerana keperluan masa sekarang ni dapat meringankan beban ibu-ibu dan mak ayah yang kekurangan duit,” katanya ketika ditemui RTM.
Pesara swasta Azman Haron menyifatkan langkah itu sebagai inisiatif baik untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras dan tepung, selain membantu keluarga yang mempunyai anak bersekolah.
“Alhamdulillah, ini satu inisiatif yang baik untuk membeli barang keperluan asas dan membantu keluarga,” katanya.
Sementara itu pekerja khidmat pelanggan, Anita Dahali pula berkata, bantuan itu melegakan rakyat, terutamanya golongan B40.
“Melegakan rakyat, terutamanya golongan B40,” katanya ringkas.
Penjual surat khabar yang juga orang kurang upaya (OKU) Ismail Othman berkata, bantuan itu membolehkannya menampung perbelanjaan asas anak-anak seperti makanan dan barangan dapur.
“Bantuan ini mengurangkan beban saya sebagai suami dan membolehkan saya belanjakan duit untuk keperluan anak-anak,” katanya.
Pesara tentera, Shahrin Meor, turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan MADANI kerana memberi sokongan kepada golongan berpendapatan rendah, sekaligus meningkatkan taraf hidup rakyat dan peniaga.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana memberi bantuan ini. Ia dapat membantu pendapatan rendah dan menaikkan taraf hidup rakyat,” katanya.
Bagi pasangan Badli Jonet dan Faridah Samad pula, inisiatif kerajaan itu dipuji memandangkan kenaikan harga barangan semasa. Mereka berharap bantuan ini dapat ditingkatkan lagi pada masa hadapan.
“Memang baik kerana barang semua dah naik. Bantuan ini meringankan beban pendapatan rendah. Kalau boleh dilebihkan lagi, lagi bagus,” katanya.
Secara keseluruhan penerima STR di Negeri Sembilan menyambut baik usaha Kerajaan MADANI dalam meringankan kos sara hidup dan membantu golongan memerlukan melalui inisiatif itu.