
KUALA LUMPUR, 10 Mac– Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berhasrat untuk membangkitkan isu tentang keganasan, provokasi agama serta kaum dalam mesyuarat kabinet, esok.
- PDRM perlu bertindak segera dan tegas terhadap semua pelaku tanpa mengira latar belakang.
- Rakyat Malaysia mesti bersatu menolak ejen provokasi dan ekstremisme demi keharmonian.
- Semua lapisan masyarakat bertanggungjawab meredakan ketegangan kaum serta menghentikan penyebaran kebencian.
Hasrat itu dizahirkan menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, serta menggesa agar perbuatan tidak bermoral itu dihentikan sepenuhnya.
Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertindak segera dan tegas terhadap semua pihak yang terlibat tanpa mengira latar belakang dan memastikan pelaku dikenakan tindakan sewajarnya.
“Rakyat Malaysia harus bersatu dalam isu ini – say no to ejen provokasi, say no to ekstremisme!”
“Musuh kita bukan sesama sendiri, tak kira kaum dan agama. Ketika dunia sedang bergolak, Rakyat Malaysia harus bersatu untuk hebatkan perniagaan Malaysia, bangunkan ekonomi negara demi kesejahteraan semua, tak kira kaum dan agama,” kata kenyataan itu.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia supaya bersatu dalam menolak sebarang bentuk provokasi dan ekstremisme, serta bersama-sama membangunkan ekonomi negara demi kesejahteraan semua.
Tambahnya, setiap lapisan masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk meredakan ketegangan kaum serta menghentikan penyebaran kebencian yang boleh menjejaskan keharmonian negara.