fb fb fb fb fb

Stesen Pam Kemubu 3 KADA dijangka siap pada Mei 2025

Datuk Arthur Joseph Kurup

KUALA LUMPUR, 31 Julai- Projek Pembinaan Stesen Pam Kemubu 3 Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dijangka siap Mei tahun depan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, sehingga kini status pembinaannya telah melebihi 30 peratus.

Projek berkenaan bertujuan mengatasi masalah gangguan bekalan air ke petak-petak sawah pada musim kemarau di Kelantan.

Ianya melibatkan kos keseluruhan lebih RM25 juta dilaksana di Kompleks Stesen Pam Kemubu KADA di Kampung Kemubu, Ketereh, Kelantan.

"Kontraktor kini sedang menjalankan kerja-kerja menanam cerucuk di muka sauk dan pembinaan struktur konkrit bertetulang bangunan rumah pam serta kerja-kerja awalan untuk mekanikal dan elektrikal di tapak.

"Setelah projek ini siap, risiko gangguan bekalan air pengairan ke kawasan Skim Pengairan Kemubu akan dapat dikurangkan semasa musim kemarau," katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negara Senator Tuan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau bertanya soalan berkenaan perkembangan pembinaan Rumah Pam Kemubu 3 (KADA) bagi mengatasi masalah kekurangan sumber air yang terpaksa ditanggung oleh pesawah ketika musim kemarau serta langkah-langkah untuk memastikan penggunaan air yang efisien dan lestari.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI