fb fb fb fb fb

Stesen LRT KLCC kembali beroperasi selepas insiden kepulan asap

Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) KLCC kini kembali beroperasi seperti biasa selepas ditutup sementara petang tadi / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 2 Januari - Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) KLCC kini kembali beroperasi seperti biasa selepas ditutup sementara petang tadi.

Ini susulan terdapat kepulan asap di bahagian bilik peralatan elektronik stesen tersebut.

Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan penumpang telah dibenarkan masuk secara berperingkat dan pergerakan penumpang ke platform dikawal petugas stesen bagi mengelakkan kesesakan di dalam kawasan stesen dan platform.

“Bagi melancarkan pergerakan penumpang, perkhidmatan bas perantara percuma masih disediakan ke Stesen LRT Dang Wangi (hentian bas di hadapan Decathlon KL City Centre) dan Stesen Ampang Park (hentian bas di hadapan Avenue K).

“Sebagai pilihan alternatif, penumpang juga boleh menaiki tren Laluan Kelana Jaya dari Stesen Ampang Park dan Kampung Baru, Laluan Putrajaya dari Stesen Ampang Park dan Persiaran KLCC serta Laluan Monorel KL dari Stesen Bukit Nanas,” menurut Rapid Rail menerusi kenyataan.

Rapid Rail turut memohon maaf kepada penumpang yang terkesan dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.

 

BERITA BERKAITAN:

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN