KUALA KRAI, 9 Jun- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI menyasarkan 20 program 'STEM Camp MOSTI' di seluruh negara pada tahun ini.
Setiausaha Bahagian Pembudayaan Dan Perkhidmatan STI Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Abdullah Daud berkata program 'STEM Camp MOSTI' adalah inisiatif dengan objektif khusus untuk menarik minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Program itu memberi tumpuan kepada golongan pelajar bagi merasai dan melaksanakan pelbagai aktiviti interaktif, aktiviti secara praktikal dan demonstrasi bertemakan STEM secara langsung daripada pakar dan pengamal dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
"Matlamat program adalah untuk menarik minat dan meningkatkan kemahiran supaya bidang sains ini di hati pelajar-pelajar golongan belia, yang mana pada peringkat akhirnya nanti, inilah merupakan sumber-sumber manusia yang bakal mencerahkan negara dalam skop bidang bidang pekerjaan," kata Abdullah kepada pemberita pada Program STEM Camp MOSTI di MRSM Kuala Krai, di sini, hari ini.
Program tersebut berlangsung selama dua hari bermula semalam dengan disertai lebih 300 peserta.
Dalam perkembangan sama, Abdullah berkata melalui program itu, pelajar yang menyertainya akan dapat meningkatkan pengetahuan dan menambah baik kemahiran dalam bidang STI, serta secara tidak langsung, program akan memberi informasi sains dan teknologi yang lebih luas kepada peserta.