fb fb fb fb fb

Status tanah, rumitkan usaha merobohkan pangkalan haram di sempadan - PGA

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar

PASIR MAS, 21 Mac- Status tanah menjadi salah satu halangan terhadap pihak berkuasa untuk merobohkan pangkalan haram yang dibina di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu membuat semakan terlebih dahulu sebelum tindakan dapat diambil.

Beliau berkata, sehingga kini sudah dua pangkalan haram dirobohkan hasil operasi bersepadu bersama agensi lain di Pengkalan Kubor, Tumpat.

Katanya, selain itu, PBT juga sudah memberikan tiga notis kepada tiga stor haram yang dibina diatas tanah persendirian tetapi tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.

Menurutnya, stor berkenaan dipercayai dijadikan transit untuk aktiviti penyeludupan seperti senjata api, dadah dan pendatang asing.

"Pihak PBT Majlis Daerah Tumpat dengan Pasir Mas akan mengenal pasti yang jeti-jeti haram ini beroperasi diatas tanah milik kerajaanlah."

"Untuk diroboh, pihak PGA akan bekerjasama dengan pihak PBT termasuk daripada segi kawalan keselamatan dan sebagainya, tanah persendirian tetapi dia tidak mematuhi syarat yang dikenakan PBT. Jadi saman notis akan dikeluarkan oleh pihak PBT," kata Sheik Azhar kepada pemberita dalam sidang media selepas hadir Majlis Iftar Bersama Petugas Op Taring Wawasan Kelantan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Rantau Panjang, Pasir Mas, pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Sheik Azhar berkata, sepanjang tahun lalu, Briged Tenggara PGA berjaya membuat tangkapan dan rampasan menerusi Op Taring Wawasan bernilai lebih RM119 juta.

Beliau berkata, ia melibatkan 1,252 kes dengan bilangan tangkapan seramai 1,741 orang.

Katanya, untuk tahun ini sehingga kelmarin, sebanyak 360 kes sudah direkodkan dengan tangkapan seramai 340 orang dan melibatkan nilai keseluruhan berjumlah lebih RM17 juta.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM