fb fb fb fb fb

Status hak penyiaran EURO 2024, dirujuk kepada KP Penyiaran

Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 30 April- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil akan merujuk kepada Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman berhubung hak penyiaran kejohanan bola sepak Eropah 2024 (Euro 2024) menerusi RTM.

Menurut beliau penelitian perkara itu perlu dilakukan memandangkan ia melibatkan kos yang tinggi selain kejohanan berkenaan mempunyai pengikutnya tersendiri.

"Kejohanan itu mempunyai pengikutnya tersendiri, cuma kita akan teliti dari segi kos, sebab kita tahu kosnya tinggi.

"Jadi kita perlu lihat perkara ini sama ada telah diperuntukkan dan kena rujuk dengan Ketua Pengarah Penyiaran.

"Jadi kena tengok sama ada telah diperuntukkan. Kalau telah diperuntukkan kita akan ambil tetapi kalau luar daripada apa diperuntukkan itu akan jadi isu," katanya selepas menghadiri Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di ibu negara.

Baru-baru ini sebuah portal media mendesak agar RTM membeli hak siaran kejohanan berprestij itu.

RTM sebelum ini menyajikan siaran secara langsung kejohanan seperti badminton, bola sepak dan beberapa sukan lain yang popular di Malaysia.

Kejohanan Euro 2024 akan berlangsung dari 14 Jun hingga 14 Julai depan.

Dalam perkembangan lain Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media Malaysia dijangka akan dibentang di Parlimen selewat-selewatnya pada Mesyuarat Ketiga yang bermula Oktober ini.

Beberapa aspek masih diteliti termasuk mengambil kira maklum balas pihak berkepentingan.

"Saya lihat tempoh masa itu bila ada sedikit maklum balas daripada beberapa pihak , kita nampak kita kena teliti kita nak pastikan proses itu di ikuti dengan baik," katanya.

"Etika Teras Kewartawanan Mapan" diangkat sebagai tema Sambutan yang akan berlangsung pada 25 hingga 27 Mei ini di Kuching, Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijangka menghadiri HAWANA 2024, yang memasuki edisi ke-4 tahun ini

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI