
KUALA LUMPUR, 28 Februari – Dua institusi pendidikan agama di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mencatat kecemerlangan luar biasa apabila masing-masing merekodkan prestasi membanggakan dalam keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025.
- Pondok Moden Al-'Abaqirah catat sejarah GPS terbaik 1.44 dalam sembilan tahun penglibatan STAM.
- SMA MAIWP mencapai prestasi cemerlang dengan GPS 2.25.
- MAIWP terus diperkukuh sebagai peneraju pendidikan Islam berprestasi tinggi negara.
- Majlis Haflu Takrim meraikan pelajar STAM 2025 dan galakkan meneruskan usaha menuntut ilmu.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata kejayaan serentak itu sekali gus mengukuhkan kedudukan MAIWP sebagai peneraju pendidikan Islam berprestasi tinggi di negara ini.
“Untuk meraikan anak anak kita STAM yang mendapat kejayaan yang sangat cemerlang. Pondok Moden Al-‘Abaqirah dan juga Sekolah Menengah Agama MAIWP (SMA MAIWP) yang telah digelar sebagai di antara sekolah yang terbaik Malaysia dalam keputusan peperiksaan STAM, jadi pada hari ini MAIWP meraikan kesemua anak-anak kita semua tadi, daripada Pondok Moden Al-‘Abaqirah dan SMA MAIWP, kita sama-sama memberikan satu mesej kepada anak-anak kita untuk meneruskan lagi perjuangan meneruskan lagi menuntut ilmu untuk mencipta kejayaan yang lebih gemilang,”
Beliau menyatakannya selepas merasmikan Majlis Haflu Takrim Pelajar STAM 2025 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini.
Pondok Moden Al-‘Abaqirah MAIWP mencipta sejarah apabila merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.44, iaitu pencapaian terbaik sepanjang sembilan tahun penglibatan dalam STAM.
Kejayaan tersebut bukan sahaja mengatasi rekod terdahulu, malah menjadi penanda aras baharu kepada kecemerlangan pendidikan pondok moden di bawah seliaan MAIWP.
Pada masa sama, SMA MAIWP turut mencatat prestasi membanggakan dengan GPS 2.25.
Pencapaian tersebut memperlihatkan konsistensi kualiti pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan MAIWP, sekali gus menyumbang kepada peningkatan keseluruhan keputusan STAM di peringkat nasional.