fb fb fb fb fb

ST: Kerajaan pastikan tarif elektrik baharu tidak beban pengguna domestik

Gambar hiasan

PUTRAJAYA, 4 Februari – Kerajaan akan memastikan penentuan jadual tarif elektrik baharu tidak akan membebankan pengguna domestik selaras dengan jaminan bahawa majoriti rakyat di negara ini tidak akan terjejas.

Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan bahawa pihaknya akan menyegerakan sesi libat urus bersama pemain industri dan komuniti perniagaan bagi mendapatkan maklum balas berkaitan jadual tarif elektrik baharu.

Menurut ST, sesi libat urus tersebut bertujuan memperincikan proses pemuktamadan jadual tarif dengan mengambil kira kepentingan serta maklum balas daripada semua pihak berkepentingan.

"Sesi ini juga memberi peluang kepada pemain industri dan komuniti perniagaan untuk menyuarakan pandangan mereka sebelum keputusan muktamad diumumkan oleh kerajaan.

"Jadual tarif elektrik yang baharu akan mencerminkan kos pembekalan elektrik sebenar serta lebih kompetitif, di samping mengekalkan keseimbangan trilema tenaga iaitu keselamatan bekalan (security), kelestarian (sustainability) dan kemampuan kos (affordability)," katanya.

Sesi libat urus ini diadakan bagi memastikan keputusan yang dibuat bukan sahaja memenuhi keperluan pengguna domestik, tetapi juga mengambil kira kesan terhadap ekonomi negara serta industri tenaga secara keseluruhan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa Julai ini.

Semakan tarif seterusnya akan dilakukan pada Julai 2025.

GRACE AISYAH KEDAYAN