fb fb fb fb fb

SSPA manifestasi penghargaan kerajaan kepada penjawat awam

Pengarah Bahagian Perjawatan dan Organisasi Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Pauzan Ahmar

KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) merupakan manifestasi penghargaan kerajaan kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam, yang terus berusaha meletakkan negara pada landasan kukuh.

Ia juga merupakan reformasi perkhidmatan awam dalam memastikan setiap perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan dengan lebih berkualiti dan berintegriti.

Menurut Pengarah Bahagian Perjawatan dan Organisasi Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Pauzan Ahmar, penstrukturan semula perkhidmatan menerusi SSPA adalah tepat pada masanya yang turut mengambil kira faktor peningkatan kos sara hidup.

"Bukan sahaja motivasi dan pada masa sama kita akan meningkatkan sistem perkhidmatan kita yang lain, akan dilihat supaya digitalisasi teknologi akan diguna pakai sepenuhnya.

"Seperti kecerdasan buatan (AI) akan dipakai semuanya akan menjadikan perkhidmatan ini lebih lancar, cepat dan tepat untuk rakyat," kata Pauzan Ahmar.

Beliau ditemui pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri.

Tambahnya, pelarasan gaji yang terkandung dalam sistem baharu tersebut bersesuaian dengan perkhidmatan dan pencapaian penjawat awam secara keseluruhan.

TETITIA YUSOFF